Antioksidan seperti Vitamin E atau beta karotena, secara
sendirian tidak dapat menghindarkan penyakit jantung, melawan kanser, membasmi
penyakit mata atau menghalang penyakit Alzheimer seperti didakwa sesetengah
pihak.
Anggapan yang mengatakan antioksidan baik untuk kesihatan
berpunca dari kajian yang mendapati mereka yang mengambil makanan yang kaya
dengan antioksidan mempunyai kesihatan jangka panjang yang lebih baik. Namun
begitu untuk mendapatkan hasil yang diinginkan, seseorang harus mengambil
pelbagai jenis antioksidan. Ujian menunjukkan bahawa penggunaan hanya satu
jenis antioksidan sahaja memberikan hasil yang sangat mengecewakan.
Antioksidan merupakan bahan kimia yang diperlukan tubuh
untuk meneutralkan radikal bebas dan mencegah kerosakan yang ditimbulkan oleh
radikal bebas terhadap sel normal, protein dan lemak. Radikal bebas merupakan
hasil sampingan daripada proses penjanaan tenaga oleh badan kita.
Antioksidan
menstabilkan radikal bebas dengan melengkapkan kekurangan elektron yang
dimiliki radikal bebas, dan menghambat terjadinya reaksi berantai dari
pembentukan radikal bebas. Radikal bebas juga menyebabkan kolesterol LDL
menjadi lebih teruk dan menyebabkan kerosakan di merata tempat dalam tubuh
kita.
Tubuh kita tidak menghasilkan antioksidan, namun ia
memerlukan pelbagai jenis antioksidan untuk membantunya meneutralkan radikal
bebas. Justeru kita perlu mengambil makanan yang mengandungi bahan tersebut.
Para penyelidik antarabangsa telah membuat kajian ke atas lebih dari 1,000
makanan untuk menentukan tahap kandungan antioksidan di dalamnya. Mendahului
senarai ialah acaiberi, blueberi, blackberi, walnut, strawberi, cranberi,
raspberi, elderberi, bunga cengkih kisar, delima dan anggur merah.
Kesemua makanan tadi mengandungi antioksidan dari jenis yang
berbeza. Memilih hanya satu makanan yang kaya dengan antioksidan tidak dapat
membantu anda untuk kekal sihat. Anda perlu memakan beberapa jenis untuk
mendapatkan pelbagai jenis antioksidan supaya dapat memberikan hasil yang diingini.

Comments
Post a Comment